Wednesday, 21 December 2016

BBK 3410: ETNIK ROHINGYA DI MYANMAR

'PENGHAPUSAN ETNIK ROHINGYA DI MYANMAR'


Tentera Myanmar kini giat menjalankan operasi penghapusan etnik Muslim Rohingya melalui pelbagai bentuk penganiayaan termasuk merogol, penyeksaan dan juga pembunuhan terhadap ribuan mangsa yang cuba melarikan diri ke Bangladesh.

Demikian menurut salah seorang Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB kepada agensi berita Al-Jazeera bertarikh 25 November.

Selain itu, PBB turut melaporkan lebih 30 ribu penduduk terpaksa menyelamatkan diri mereka meninggalkan rumah kediaman sebelum menjadi mangsa kezaliman di negara sendiri.

Memetik sumber sama, Ketua Agensi Pelarian Pertubuhan di Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), John McKissick. memberitahu bahawa tentera telah melakukan kezaliman dengan membunuh, menyembelih kanak-kanak, merogol wanita, membakar rumah serta memaksa mangsa kezaliman menyeberangi sungai ke Bangladesh.

Malangnya, Bangladesh telah menolak rayuan antarabangsa yang mendesak mereka untuk membuka sempadan bagi menerima pelarian Rohingya.
Image result for orang rohingya

kekejaman terhadap etnik ini berterusan sehingga hari ini. Lebih malang, seluruh dunia diam membisu tanpa apa-apa tindakan bagi membela nasib etnik Rohingya ini.

Walaupun kewujudan institusi antarabangsa United Nation Human Righst Council (UNHRC) cuba memainkan peranan dalam menyelesaikan permasalah ini tetapi ia adalah satu tindakan yang sia-sia.

Segala usaha UNHRC seperti projek pemulihan dan penyatuan kaum diselenggara sendiri oleh tentera SLORC yang dalam masa yang sama turut terlibat membunuh etnik muslim Rohingya. Mana-mana etnik muslim Rohingya yang dihantar pulang ke Arakan di bawah perjanjian bilateral UNHRC telah dipindahkan semula oleh tentera SLORC.

Dalam masa yang sama kakitangan kerja yang dipilih untuk berkhidmat sebagai staff UNHRC juga disekat hubungannya untuk menceritakan hal-hal sebenar kepada media luar.

Namun begitu, walaupun  seringkali berlaku konflik antara staf UNHRC dan tentera SLORC tetapi terdapat juga waktu di mana kakitangan UNHRC seakan-akan berkompromi dan bekerjasama dengan tentera SLORC dalam usaha yang menggadaikan nyawa etnik muslim Rohingya serta tidak kurang juga meluluskan tindakan SLORC yang membunuh etnik muslim Rohingya.



BBK 3410: KEKEJAMAN DI SYRIA

PERANG SAUDARA DI SYRIA


Assalamualaikum warahmatullah hiwabarokatuh..

Entri saya kali ini adalah berkisah tentang isu yang sedang berlaku pada hari ini. Isu tentang kekejaman yang berlaku di Syria dimana pemerintah negara itu sendiri bertindak kejam ke atas rakyatnya sendiri. mengapakah perang ini terjadi? saya difahamkan bahawa pemerintah kejam ini merupakan penganut syiah manakala majoriti rakyatnya pula penganut sunni. Perbezaan ini menyebabkan pemerintah Syria iaitu Bashar Al Assad ingin menghapuskan golongan sunni. Angkatan tentera yang berpihak kepada pemerintah telah mencetuskan perang saudara di negara tersebut. Maka yang menjadi mangsa adalah golongan sunni terutama bagi kanak-kanak yang tidak berdosa.

Pemberontakan Syria atau perang saudara Syria merupakan konflik dalaman yang masih berterusan, yang berlaku di Syria sejak awal 2011. Bantahan bermula pada 26 Januari 2011, dan meningkat kepada tahap kebangkitan pada 15 Mac 2011. Kebangkitan ini dipengaruhi oleh bantahan serentak di rantau Timur Tengah yang "belum pernah terjadi sebelumnya."[37][38] Para pembantah mendesak Presiden Bashar al-Assad berundur, parti memerintah Parti Ba'ath membenarkan parti politik lain, hak sama rata untuk orang Kurdi dan kebebasan politik meluas, seperti kebebasan akhbar, bersuara dan berhimpun.

Image result for PERANG DI SYRIA


Kanak-kanak Syria dibunuh kejam oleh rejim Bashar

Satu rakaman video viral yang memaparkan wajah suram seorang kanak-kanak Syria yang mengalami kecederaan dan keseorangan diri di dalam sebuah ambulan cukup menyayat hati. Kesuraman berada di garisan krisis yang sedang mengganas di Syria sejak beberapa tahun yang lalu jelas tergambar menerusi rakaman itu.

Omran Daqneesh, berusia lima tahun merupakan antara mangsa yang diselamatkan dalam serangan kejam tentera Basyar Al Assad.Omran yang mengalami kecederaan dilihat sedang duduk berseorang diri di atas kerusi dalam sebuah ambulan selepas dia diselamatkan - yang mana nasib ibu bapanya sehingga kini masih belum diketahui.

Diliputi debu runtuhan bangunan dan berlumuran darah, wajah muka Omran seperti berada dalam igauan trauma. Mungkin dia sendiri tidak memahami apa yang sedang berlaku di sekelilingnya, ataupun mungkin dia percaya yang realiti di hadapannya hanyalah satu mimpi.Rakaman video berdurasi 2 minit menunjukkan Omran dibawa masuk ke dalam ambulan tersebut oleh seorang penyelamat yang berada di lokasi kejadian.

Lebih menyedihkan, walaupun Omran sedar dahinya mengalami pendarahan, dia tidak menangis malah hanya duduk senyap sambil menunggu mangsa lain.Penyelamat dilihat menyelamatkan empat lagi kanak-kanak sebelum mereka dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Rakaman itu dipercayai dimuat naik oleh seorang doktor yang bertugas di kawasan bergolak itu.

Wajah kanak-kanak Aleppo ini peringatan jelas ngeri perang di Syria
Menurut laporan CNN, tiga orang maut dan sekurang-kurangnya 12 yang lain cedera dalam serangan yang berlaku di Aleppo pada Rabu. Video dan juga imej daripada pengeboman itu disebarkan di media sosial sudah pasti menjadi satu peringatan yang hebat akan krisis yang sedang berlaku di bandar Syria.

Mengikut statistik Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), 60 peratus kanak-kanak pelarian di Syria tidak menerima pendidikan yang sewajarnya terutamanya anak-anak pelarian Palestin.

Suatu ketika dahulu Aleppo dengan penduduk sekitar 2.3 juta merupakan sebuah bandar raya terbesar di Syria yang berjaya menambat hati pelancong, bahkan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Kini, bandar yang antaranya menempatkan masjid yang hebat pada abad ke-12 dan pasar tertutup Souk kini musnah.

Malang sekali, pemimpin du­nia Islam ‘membisu’ untuk bertindak tegas dan menghulurkan bantuan yang diharapkan. Tanpa tindakan segera yang bersepadu, kita akan sekadar me­ngulangi satu lagi bencana kemanusiaan seperti mana di Bosnia. Biarpun ‘pokok pisang sememangnya tidak berbuah dua kali’ tetapi kegagalan untuk menyelamatkan orang awam yang terperangkap di Aleppo bagaikan mengundang berulangnya pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica ketika Perang Bosnia 1995.

Saturday, 10 December 2016

BBK 3410: PEMENTASAN TEATER

OH SAAT!


ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Hari ini saya ingin berkongsi sebuah kenangan manis yang saya peroleh semasa mengikuti kelas penglahiran bakat kreatif BBK 3410. 

Pada hari Jumaat 9 Disember 2016, kelas BBK 3410 telah menjalankan pementasan teater mini yang bertajuk 'Oh Saat!'. Tugas membuat pementasan ini telah diberikan oleh Dr, Kamariah dan beliau memberi masa selama dua minggu untuk melakukan persiapan bagi menjalankan pementasan teater ini. Setiap pelajar diberi tugas dan peranan masing-masing bagi melancarkan persiapan teater ini. 

Saya merupakan salah seorang daripada Krew Dekorasi pentas yang diketuai oleh saudari Solehah. Krew Dekorasi Pentas turut dianggotai oleh beberapa rakan iaitu Ainul, Zaharah, Adiba, Hajar, Fetri, Syamin, Hani dan beberapa rakan lain. Krew Dekorasi berperanan menyediakan alatan-alatan yang diperlukan untuk pementasan. Selain itu, kami juga bertanggungjawab menyusun 'setting' pentas dimana lokasinya terdiri daripada rumah, kawasan kampung, pasar minggu, kedai makan dan sebagainya.

Imej: Krew Dekorasi Pentas

Sepanjang dua minggu membuat persiapan pelbagai cabaran dan masalah telah dihadapi namun, syukur segala masalah dapat diatasi dengan baik. Segala pahit manis sepanjang melakukan persiapan pementasan adalah kenangan yang indah. 

Kerjasama antara krew lain juga amat baik. kesemua krew termasuk  director, pembantu director, stage manager, staf kostum, staf teknikal, staf make-up, para pelakon, penulis skrip, dan lain-lain telah melakukan tugas masing-masing dengan penuh komited. Pementasan ini secara tidak langsung telah mengeratkan hubungan siratulrahim antara semua pelajar. 

Imej: keluarga BBK 3410


Saya berharap ini bukan kali terakhir untuk terlibat dalam aktiviti sebegini. Terima kasih diucapkan kepada Dr. Kamariah diatas jasa yang tidak terhingga anda sepanjang kelas Penglahiran Bakat Kreatif berlansung.

Sekian wassalam...

BBK 3410: BAJU KEDAH


BAJU KEDAH

Assalamualaikum.

Dalam entri saya kali ini saya akan berkongsi mengenai pakaian tradisional yang kini jarang ditemui. Pakaian tradisional ini berasal dari negeri Kedah dan ia merupakan baju kurung yang lain daripada baju kurung yang ada di Malaysia. Apakah yang membezakannya? 

Baju Perempuan Kedah

Baju Kedah atau baju kurung Kedah dipercayai berasal dari Selatan Thai. Baju Kedah selalunya diperbuat daripada kain cita (kapas) yang berbunga kecil ataupun kain kasa nipis yang jarang dan keras. Baju Kedah boleh disifatkan sebagai pakaian sehari-hari atau pakaian basahan. Ia dibuat singkat sampai ke paras punggung dan biasanya dipakai dengan kain batik atau pun pelikat tanpa banyak hiasan.
Baju Kedah dipercayai berasal dari Selatan Thai di mana wanita kini memakai baju yang berleher potongan bujur sireh. Ianya dikenakan bersahaja ketika bekerja di rumah sebagai pakaian harian.

Imej: Baju Kurung Kedah


Baju Lelaki Kedah

Lelaki Kedah pula gemar memakai Seluar Hitam dan Baju Baba yang juga berwarna hitam. Selain daripada Baju Baba, dipakai juga baju Melayu Cekak Musang dan Baju Petani Leher Johor, sampingnya Kain Pelikat Tapak Catur dan setangan dikepala ialah kain batik. Di pinggang sentiasa terselit Golok Kedah. Masing-masing tidak berkasut dan yang berada Berpayung Cina. Orang-orang yang dihormati pula memakai Kain Bebat di pinggang. Bebat yang baik ialah dari Sutera Siam atau pun Kain Cindai.
Perhiasan pakaian kepala pula merupakan jenis-jenis pakaian kepala seperti tengkolok, selendang, songkok dan semutar. Perhiasan diri pula merupakan barang-barang kemas yang terdiri dari rantai, gelang tangan, gelang kaki, subang dan cincin. Kasut pula terdiri daripada terompah kayu, kasut-kasut yang bertekat dan ditaburi dengan manik.
Kehebatan dan kepelbagaian Pakaian Tradisional Kedah dianggap sebagai satu cabang kebudayaan tradisi Kedah yang menekankan bentuk-bentuk dan reka corak yang tersendiri.


Imej: Baju Lelaki Kedah


Monday, 31 October 2016

BBK 3410: ADAT PERKAHWINAN NEGERI JOHOR

ADAT "TOL"

Assalamualaikum ..Entri saya kali ini adalah berkaitan dengan adat. Hari ini saya akan berkongsi mengenai adat perkahwinan negeri Johor. Orang Melayu sememangnya kaya dengan pelbagai adat yang menjadi kebanggaan masyarakatnya. Upacara perkahwinan tidak lari daripada mengamalkan adat tradisi Melayu yang telah sekian lama wujud dalam kalangan mereka. Sudah menjadi kemestian dalam acara perkahwinan antara pasangan pengantin untuk menjalankan upacara dimulai dengan adat merisik, meminang, bertunang, bernikah dan akhirnya bersanding. Keunikan yang terdapat dalam adat perkahwinan Negeri Johor berbanding negeri lain ialah adat TOL.

Adat Tol ini dijalankan sewaktu sebelum upacara bersanding antara pasangan dijalankan. Pasangan lelaki yang berkahwin dengan wanita Johor akan dikenakan beberapa siri Tol sebelum dapat memasuki rumah pengantin perempuan. Dalam tradisi ini, pengapit atau pengiring bagi pengantin lelaki memainkan peranan dalam ‘memberi’ dan ‘membayar’ duit kepada mereka yang menjaga tol termasuklah golongan kanak-kanak, saudara mara, sahabat pengantin perempuan serta mak andam. Adat Tol ini bukanlah wajib tetapi hanya sekadar untuk memeriahkan majlis. Pada sebelah malam kenduri, akan diadakan persembahan kuda kepang. Keunikan yang hanya ada di negeri Johor ini bertujuan untuk meraikan kejayaan pasangan pengantin dalam membina rumahtangga bersama.


Adat Tol ini sebenarnya bukanlah sesuatu perkara yang wajib tetapi hanya sekadar untuk memeriahkan majlis sahaja yang boleh dianggap kenangan manis waktu perkahwinan. Cuma pengantin lelaki perlulah membuat persediaan sebarang kemungkinan takut-takut tidak lepas untuk bayar Tol nanti.:) Dalam permainan Tol ini, orang yang memainkan peranan ialah pengapit anda. Pengapit perlu bijak mengawal situasi terutama kanak-kanak barisan paling hadapan pintu masuk kerana kanak-kanak mempunyai banyak karenah. Sebenarnya tidak perlu Tol yang tinggi. 20sen hingga RM1 sudah mencukupi untuk bayar Tol setiap seorang, mengikut kepada kemempuan pengantin lelaki.

Sebelum bersanding, anda tanyalah pada pengantin perempuan bagaimana dengan kehadiran saudara mara dia diwaktu hari persandingan nanti. Kalau dia kata ramai maknanya ramailah yang akan berada di kawasan Tol nanti, kalau tak ramai maknanya anda selamat sikit. Seterusnya tanya pada pengantin perempuan sama ada Mak Andam kenakan Tol atau tidak. Kebiasaannya Mak Andam akan beritahu awal-awal kepada pengantin perempuan jika dia hendakkan Tol. Kerana Tol Mak Andam ni adalah Tol terakhir (Atas Pelamin). Mak Andam selalunya hanya akan membuka laluan kepada pengantin lelaki untuk menaiki pelamin setelah berpuas hati dengan jumlah Tol yang diberikan.

Kebiasaannya ada 3 lapisan TOL :
  1. TOL pintu masuk ( majoriti kanak-kanak atau pemuda-pemuda yang rewang kadar TOL 50sen hingga RM1 ). 
  2. TOL nak naik pelamin ( majoriti gadis-gadis, rakan atau saudara pengantin perempuan kadar TOL RM1 ). 
  3. TOL Mak Andam ( Big Bos kadar TOL RM10 hingga RM50 ikut kemampuan). 

Begitulah bagaimana adat Tol dalam perkahwinan negeri Johor dijalankan. Keunikan ini menjadikan adat perkahwinan di Johor agak janggal bagi negeri lain. Namun, setiap negeri mungkin mempunyai adat mereka tersendiri. Bagi mereka yang tidak pernah mengetahui akan kewujudan adat Tol ini, saya harap maklumat ini dapat menambah pengetahuan anda. Sekian sahaja dari saya. Wassalam.

BBK 3410: PERMAINAN TRADISIONAL

GALAH PANJANG


Asalammualaikum dan selamat sejahtera semua.

Dalam entri saya kali ini, saya ingin berkongsi satu permainan tradisional yang popular dikalangan masyarakat dahulu. Permainan ini merupakan permainan yang boleh disertai oleh pelbagai lapisan umur dan juga jantina. Permainan ini tidak dimainkan secara individu, tetapi dengan dua kumpulan. Terdiri dari kumpulan penyerang dan kumpulan bertahan. Setiap kumpulan mempunyai pemain tidak kurang dari seramai empat orang dan kebiasaannya terdiri dari sepuluh pemain sahaja.

Salah seorang dari ahli kumpulan itu akan dilantik sebagai ketua dan lainnya adalah sebagai awak-awak sahaja. Tugas ketua kumpulan adalah sebagai mengawasi setiap penyerang yang masuk dan keluar dari gelanggang, iaitu disepanjang garisan permulaan, garisan tengah dan garisan disekeliling gelanggang. Manakala awak-awak hanya menjaga garisan melintang di dalam gelanggang.

Sebelum permainan dimulakan undian secara "wan tu som" dijalankan oleh kedua-dua ketua pasukan. Siapa yang menang akan menjadi pasukan penyerang. Penetapan pengiraan bertukar giliran akan ditentukan terlebih dahulu, samada hanya dengan cuitan ke badan pemain atau dengan menangkap pemain.

Cara bermain
Cara permainan galah panjang tidaklah sesukar mana tapi ia dapat menguji kepintaran, kecekapan dan kepantansan setiap pemain.
  1. Gelanggang galah panjang di lakar diatas tanah yang lapang. Panjang dan lebar bergantung kepada pelukis garisan dan bilangan pemain. Selalunya satu petak galah panjang berukuran lebih kurang 2 meter x 1.5 meter.
  2. Selepas pemilihan dilakukan, setiap kumpulan akan melakukan pemilihan ketua. Ketua dari kedua-dua kumpulan akan mengundi siapa yang menjaga gelanggan dan siapa yang menempuh gelanggang.
  3. Selepas penentuan, kumpulan yang menjaga gelanggang akan menjaga gelanggang dengan berpijak diatas garisan yang dilukis tadi. Ketua akan menjaga garisan tengah dan bebas pergi kemana-mana garisan depan atau belakang.
  4. Kumpulan menempuh gelanggang akan berkumpul di depan, seterusnya ketua akan menyapakan tangannya dengan ketua pihak lawan. Seterusnya mereka berlari masuk ke dalam gelanggang.
  5. Penjaga akan menjaga kawasannya agar pihak penempuh tidak melepasi garisan yang dijaganya.
  6. Penempuh akan menempuh sampai melepasi garisan paling akhir tanpa disentuh oleh penjaga gelanggang dan kemudiannya berpatah balik.
  7. Kemenangan tercapai apabila orang yang telah melepasi garisan paling akhir melepasi garisan permulaan. Dan permainan diteruskan sehingga ada pemain yang ingin berhenti.

Peraturan Permainan
Permainan galah panjang ini mempunyai beberapa peraturan yang perlu dijaga oleh setiap permain. Peraturan permainan ini agak ketat, justeru para pemain perlu berhati-hati untuk mengelakkan kekalahan. Peraturan permainan ini adalah seperti berikut:
  • Jika penjaga gelanggang dapat menyentuh anak buah, maka anak buah akan mati atau tamat gilirannya bermain dan dikehendaki keluar gelanggang.
  • Jika penjaga gelanggang menyentuh ketua, maka seluruh ahli penempuh akan tamat giliran dan akan bertukar giliran antara penjaga dan penempuh.
  • Pemain pasukan penyerang tidak boleh berundur kebelakang setelah melepasi garisan gelanggang, ia dikira mati yang akan menyebabkan pertukaran kedudukan pasukan.
  • Pasukan penyerang dikira mati jika terdapat pemainnya terkeluar dari garisan gelanggang.
  • Pasukan penyerang dikira menang jika salah seorang dari pemainnya dapat melepasi kesemua garisan hingga kembali ke garisan permulaan. Satu mata diberikan kepada pasukan ini dan permainan akan dijalankan semula.
  • Mana-mana pasukan yang dapat mengumpul mata tertinggi akan dikira memenangi perlawan tersebut.


BBK 3410: ISU SEMASA

KEGANASAN RUMAH TANGGA


Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua.

Hari ini saya ingin berkongsi sedikit maklumat mengenai isu yang sedang hangat diperkatakan oleh masyarakat. baru-baru ini, kita telah digemparkan dengan satu berita yang agak sensitif. Berita mengenai keganasan rumah tangga ini telah menjadi bualan setiap masyarakat malah juga begitu viral di media sosial. Apakah yang berlaku dalam kes ini? kisah ini mula kedengaran setelah seorang wanita telah membuat satu laporan polis atas dakwaan dirinya telah didera oleh suami beliau. 


Sebab Berlaku Keganasan Rumah Tangga
Keluarga yang terbabit dengan keganasan selalunya mengasingkan diri dan tidak bercampur dengan jiran. Semakin menyepi, semakin banyak keganasan yang dilakukan terhadap isteri, anak dan ahli keluarga lain. Apabila kurang bergaul, faktor kawalan sosial berkurangan. Lelaki yang sering mendera juga memilih hidup terasing kerana tidak mahu orang lain tahu perbuatannya.
Persepsi tertindas di luar rumah juga akan menyebabkan suami atau isteri membalas dendam dengan melakukan penderaan di rumah. Persepsi ini tidak selalunya betul tetapi demi mengukuhkan ego diri, anak-anak dan isteri di rumah dijadikan mangsa.


Jenis-Jenis Penderaan Fizikal
  • Pemangsa mungkin menyerang pada muka, tangan, badan atau kaki mangsa.
  • Membaling atau merosakkan harta benda. Pemangsa selalunya membaling alat perkakas atau apa-apa sahaja yang mudah dicapai dan memusnahkan harta di rumah.
  • Mencekik antara perkara biasa yang dilakukan pemangsa. Perbuatan ini memberi makna jelas bahawa pemangsa lebih berkuasa dan kuat sementara mangsa merayu memohon belas kasihan.
  • Penderaan yang memalukan dengan menggunakan kata-kata yang tidak senonoh sebelum mendera secara fizikal.


Kesan Kepada Mangsa
  • Isteri, suami, anak atau ahli keluarga yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga selalunya akan hilang harga diri dan malu kepada orang sekeliling. Mereka juga akan sentiasa mengutuk diri sendiri dan menerima bahawa mereka berhak didera kerana gagal memenuhi kehendak orang yang menindas.
  • Isteri yang didera selalunya akan terasa dirinya tidak boleh menjadi isteri yang baik, rasa rendah diri dan hilang keyakinan diri.
  • Anak-anak pula akan membina rasa benci kepada diri sendiri, lemah daya ketahanan dalam menghadapi masa depan, lekas terpengaruh dengan benda-benda yang tidak baik dan sentiasa menganggap dirinya tidak upaya melakukan sesuatu denga baik dan betul.

"Sebanyak 3,343 kes keganasan rumah tangga dilaporkan dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun 2015 dan daripada jumlah itu, 2,528 kes membabitkan golongan wanita.Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, jumlah tersebut berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang juga rakan strategik kementerian.Menurut beliau, kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan melibatkan penderaan fizikal, mental, seksual, sosial dan ekonomi hingga menyebabkan mangsa mengalami trauma yang rumit." (PETIKAN DARIPADA AKHBAR UTUSAN 1 0KT. 2015)

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Sedia Bantu Mangsa
Wanita tidak diwujudkan untuk didera atau disakiti. Mereka mungkin lemah tetapi bukan untuk ditindas dan diperbuat sesuka hati seperti barangan. Ada pihak yang dapat membantu dan kekuatan untuk mengubah hidup anda terletak di tangan anda sendiri.

Semoga kes keganasan rumah tangga tidak menjadi satu kes yang normal dalam kehidupan kita. Sentiasa lah menjaga keharmonian rumah tangga agar dapat menjalani kehidupan yang bahagia. Sekian sahaja entri saya kali ini. 

Wassalam.

Sunday, 30 October 2016

BBK 3410: MAKANAN TRADISI MASYARAKAT BANJAR

WADAI KEPENG

Assalamualaikum semua.


Hari ini saya akan berkongsi sebuah resepi yang berasal daripada masyarakat banjar iaitu wadai kepeng. Apa itu wadai kepeng? Wadai kepeng ialah makanan tradisi yang popular dalam kalangan masyarakat banjar. Wadai kepeng adalah nama kuih yang diberi dalam bahasa banjar, maksud wadai kepeng ialah "kuih tekan". Wadai kepeng mempunyai rasa manis kerana kuahnya dibuat daripada gula merah.

Wadai kepeng ini mempunyai dua bahan berlainan iaitu bahan untuk kuih dan kuah. kuih dan kuah dibuat berasingan dan kemudiannya kedua bahan tersebut disatukan ketika dimasak. Berikut merupakan gambaran wadai kepeng beserta resipinya.


Bahan-bahannya ( tepung: wadai)

  • 1 cawan tepung pulut.
  • secubit garam
  • air secukupnya.

Caranya :
  1. Ayak tepung pulut terlebih dahulu, setelah selesai masukkan secubit garam kedalam tepung pulut tersebut.
  2. Masukkan air sedikit demi sedikit sambil menguli adunan. Gunakan tangan untuk menguli adunan.
  3. Adunan perlu diuli hingga jadi doh. Bagi hasil terbaik,pastikan doh tidak melekat pada tangan.
  4. Cubit doh dalam kuantiti yang kecil, bentukkan menjadi bulat kemudian picitkan ditengah-tengah doh supaya menjadi bentuk seperti dalam rajah diatas.


Untuk Bahan kuahnya pula :
  • 1/2 ketul gula melaka atau gula merah (jika menggunakan gula merah, masak gula terlebih dahulu kemudian tapis)
  • 2 cawan santan pekat
  • 2 helai daun pandan
  • sedikit gula (ditambah kalau nak lagi manis)
  • sedikit garam

Caranya :
  1. Masukkan gula melaka, santan, sedikit garam ke dalam periuk.
  2. Masukkan daun pandan (simpulkan)
  3. Panaskan bahan-bahan tersebut dengan menggunakan api perlahan.
  4. Setelah api mulai agak panas (jangan sampai mendidih ) masukkan tepung pulut yang sudah siap dibentuk tadi.
  5. Tunggu sehingga tepung tadi terapung, apabila tepung pulut mulai terapung, ini menandakan wadainya sudah masak. Pastikan api perlahan
  6. Biar hingga ia mendidih dan jaga jangan sampai pecah minyak  (nanti kurang sedap)

Begitulah hasil akhir wadai kepeng setelah siap dimasak. Bagi yang belum pernah merasai wadai kepeng, saya sarankan anda mencuba. Selamat menjamu selera!

Wassalam.


Saturday, 29 October 2016

BBK 3410: DUNIA KESUSASTERAAN MELAYU MUTAKHIR

Assalamualaikum...

Kesusasteraan Melayu adalah seni yang dihasilkan melalui karya-karya yang menggunakan bahasa yang tinggi, indah, tersirat dan eksklusif. Sebuah karya tidak dihasilkan dengan mudah, ia mengambil masa berhari, berminggu bahkan bertahun sekali pun. Kreativiti dalam menghasilkan karya seni adalah bakat yang dalam diri seseorang yang sukar untuk ditemui. Negara kita mempunyai 13 tokoh sasterawan negara yang mengangkat bidang sastera dengan karya-karya mereka yang amat indah dan berpuitis. Ketinggian bahasa yang digunakan membuatkan karya mereka sangat berharga disamping membawa maksud tersirat yang perlu diterjemah dan diperkenalkan agar semua lapisan usia mendapat manfaat bersama.

Kesusasteraan melayu merupakan bidang yang paling kurang mendapat tempat dihati belia generasi kini. Mungkin kerana proses-proses dalam menghasilkan karya mengambil masa yang panjang dan sukar mendapat idea bagi menghidupkan sesebuah karya menyebabkan bidang ini begitu dipandang sepi. Pemikiran sebegini telah menjauhkan golongan muda khususnya untuk mencuba menghasilkan karya kreatif. Dunia kesusasteraan melayu mutakhir ini boleh dikatakan begitu membimbangkan kerana rata-rata generasi muda tidak lagi berminat untuk mengarang. Generasi kini lebih gemar untuk mengikuti perkembangan teknologi moden yang menampilkan pelbagai keluaran gajet-gajet canggih.

Selain itu, dunia hari ini yang serba moden telah mendorong generasi kini untuk berkecimpung dalam bidang sains dan teknologi dimana bidang ini lebih menjurus kepada kajian inovatif. Hal ini menyebabkan kesusasteraan melayu dipinggirkan dan tidak lagi menarik minat golongan belia. Golongan belia hari ini lebih berminat dengan fakta, pernomboran, kajian sains berbanding berkarya. Perkara ini amat membimbangkan kerana bidang kesusasteraan melayu memerlukan generasi yang akan terus membawa sastera melayu kepada generasi akan datang.

Fenomena ini perlu dibendung dan dikawal agar bidang kesusasteraan melayu terus mendapat perhatian generasi kini. Langkah-langkah memperkasa bidang sastera perlu diambil seperti mengadakan kempen agar dapat menarik minat golongan belia untuk berkarya dan memartabatkan sastera melayu.

sekian daripada saya. Wassalam.

BBK 3410: REAKSI, KOMEN DAN HARAPAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Dalam entri pertama ini saya akan berkongsi sedikit pandangan, reaksi dan harapan terhadap kelas penglahiran bakat kreatif. Penglahiran Bakat Kreatif merupakan subjek pertama saya yang melibatkan kesusasteraan melayu. Memang benar bahawa sebelum ini, iaitu semasa di zaman sekolah menengah saya pernah mempelajari sastera yang termasuk dalam matapelajaran bahasa Melayu. Namun, kelas penglahiran bakat kreatif ini lebih mendalami kesusasteraan melayu dimana pelajar sendiri diberi peluang untuk menghasilkan karya-karya kreatif sendiri berbanding semasa di sekolah menengah yang lebih tertumpu kepada buku teks, buku cerpen dan komsas.

Setelah mengikuti kelas ini, saya telah mendapat ilmu yang lebih meluas tentang sastera melayu. Hal ini demikian kerana, sejujurnya saya tidak tahu akan perbezaan antara sajak, syair, puisi, dan pantun. Bagi saya semuanya sama sahaja. Namun, setelah mengikuti kelas penglahiran bakat kreatif ini, saya telah dapat membezakan kesemua jenis hasil kreatif berkenaan. Saya juga bukanlah seorang penggemar novel. Saya tidak pernah membaca novel mahupun cerpen sebagaimana belia hari ini yang begitu obses dengan novel. Rangsangan daripada pensyarah sendiri iaitu Dr. Kamariah Kamaruddin telah mendorong saya untuk mencuba membaca karya-karya kreatif bermula dengan cerita pendek atau cerpen.

Kesusasteraan melayu terkenal dengan keindahan bahasa yang digunakan untuk mengekpresikan dan meluahan karya-karya yang sangat puitis. Apabila sesebuah karya itu difahami dengan maksud yang mendalam, maka kita dalam memahami cerita disebalik karya yang dihasilkan oleh karyawan berkenaan. Begitu banyak kata-kata yang mengandungi maksud tersirat dan tersurat dalam sesebuah karya yang perlu saya amati kerana ini adalah peluang bagi saya untuk mencuba melibatkan diri dalam menghasilkan karya sendiri. Selain itu juga, saya telah mengenali siapakah tokoh-tokoh sasterawan negara yang mana sebelum ini saya tidak pernah ambil tahu. Kesemua 13 sasterawan negara yang memperjuangkan kesusasteraan melayu ini wajar diberikan sanjungan dan penghargaan di atas jasa mereka yang mengangkat sastera melayu ke peringkat tinggi.

Akhir kalam, saya berharap agar karya sastera melayu terus mendapat tempat dihati generasi muda hari ini kerana di zaman serba teknologi ini begitu sukar untuk mencari seseorang yang benar-benar berbakat dalam bidang sastera. Hal ini demikian kerana, teknologi telah membawa generasi kini kepada dunia serba moden dan melupakan asal-usul jati diri melayu. Saya juga berharap agar saya juga dapat bergelar seorang pengkarya yang berjaya.