Saturday, 29 October 2016

BBK 3410: DUNIA KESUSASTERAAN MELAYU MUTAKHIR

Assalamualaikum...

Kesusasteraan Melayu adalah seni yang dihasilkan melalui karya-karya yang menggunakan bahasa yang tinggi, indah, tersirat dan eksklusif. Sebuah karya tidak dihasilkan dengan mudah, ia mengambil masa berhari, berminggu bahkan bertahun sekali pun. Kreativiti dalam menghasilkan karya seni adalah bakat yang dalam diri seseorang yang sukar untuk ditemui. Negara kita mempunyai 13 tokoh sasterawan negara yang mengangkat bidang sastera dengan karya-karya mereka yang amat indah dan berpuitis. Ketinggian bahasa yang digunakan membuatkan karya mereka sangat berharga disamping membawa maksud tersirat yang perlu diterjemah dan diperkenalkan agar semua lapisan usia mendapat manfaat bersama.

Kesusasteraan melayu merupakan bidang yang paling kurang mendapat tempat dihati belia generasi kini. Mungkin kerana proses-proses dalam menghasilkan karya mengambil masa yang panjang dan sukar mendapat idea bagi menghidupkan sesebuah karya menyebabkan bidang ini begitu dipandang sepi. Pemikiran sebegini telah menjauhkan golongan muda khususnya untuk mencuba menghasilkan karya kreatif. Dunia kesusasteraan melayu mutakhir ini boleh dikatakan begitu membimbangkan kerana rata-rata generasi muda tidak lagi berminat untuk mengarang. Generasi kini lebih gemar untuk mengikuti perkembangan teknologi moden yang menampilkan pelbagai keluaran gajet-gajet canggih.

Selain itu, dunia hari ini yang serba moden telah mendorong generasi kini untuk berkecimpung dalam bidang sains dan teknologi dimana bidang ini lebih menjurus kepada kajian inovatif. Hal ini menyebabkan kesusasteraan melayu dipinggirkan dan tidak lagi menarik minat golongan belia. Golongan belia hari ini lebih berminat dengan fakta, pernomboran, kajian sains berbanding berkarya. Perkara ini amat membimbangkan kerana bidang kesusasteraan melayu memerlukan generasi yang akan terus membawa sastera melayu kepada generasi akan datang.

Fenomena ini perlu dibendung dan dikawal agar bidang kesusasteraan melayu terus mendapat perhatian generasi kini. Langkah-langkah memperkasa bidang sastera perlu diambil seperti mengadakan kempen agar dapat menarik minat golongan belia untuk berkarya dan memartabatkan sastera melayu.

sekian daripada saya. Wassalam.

No comments:

Post a Comment