Saturday, 29 October 2016

BBK 3410: REAKSI, KOMEN DAN HARAPAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Dalam entri pertama ini saya akan berkongsi sedikit pandangan, reaksi dan harapan terhadap kelas penglahiran bakat kreatif. Penglahiran Bakat Kreatif merupakan subjek pertama saya yang melibatkan kesusasteraan melayu. Memang benar bahawa sebelum ini, iaitu semasa di zaman sekolah menengah saya pernah mempelajari sastera yang termasuk dalam matapelajaran bahasa Melayu. Namun, kelas penglahiran bakat kreatif ini lebih mendalami kesusasteraan melayu dimana pelajar sendiri diberi peluang untuk menghasilkan karya-karya kreatif sendiri berbanding semasa di sekolah menengah yang lebih tertumpu kepada buku teks, buku cerpen dan komsas.

Setelah mengikuti kelas ini, saya telah mendapat ilmu yang lebih meluas tentang sastera melayu. Hal ini demikian kerana, sejujurnya saya tidak tahu akan perbezaan antara sajak, syair, puisi, dan pantun. Bagi saya semuanya sama sahaja. Namun, setelah mengikuti kelas penglahiran bakat kreatif ini, saya telah dapat membezakan kesemua jenis hasil kreatif berkenaan. Saya juga bukanlah seorang penggemar novel. Saya tidak pernah membaca novel mahupun cerpen sebagaimana belia hari ini yang begitu obses dengan novel. Rangsangan daripada pensyarah sendiri iaitu Dr. Kamariah Kamaruddin telah mendorong saya untuk mencuba membaca karya-karya kreatif bermula dengan cerita pendek atau cerpen.

Kesusasteraan melayu terkenal dengan keindahan bahasa yang digunakan untuk mengekpresikan dan meluahan karya-karya yang sangat puitis. Apabila sesebuah karya itu difahami dengan maksud yang mendalam, maka kita dalam memahami cerita disebalik karya yang dihasilkan oleh karyawan berkenaan. Begitu banyak kata-kata yang mengandungi maksud tersirat dan tersurat dalam sesebuah karya yang perlu saya amati kerana ini adalah peluang bagi saya untuk mencuba melibatkan diri dalam menghasilkan karya sendiri. Selain itu juga, saya telah mengenali siapakah tokoh-tokoh sasterawan negara yang mana sebelum ini saya tidak pernah ambil tahu. Kesemua 13 sasterawan negara yang memperjuangkan kesusasteraan melayu ini wajar diberikan sanjungan dan penghargaan di atas jasa mereka yang mengangkat sastera melayu ke peringkat tinggi.

Akhir kalam, saya berharap agar karya sastera melayu terus mendapat tempat dihati generasi muda hari ini kerana di zaman serba teknologi ini begitu sukar untuk mencari seseorang yang benar-benar berbakat dalam bidang sastera. Hal ini demikian kerana, teknologi telah membawa generasi kini kepada dunia serba moden dan melupakan asal-usul jati diri melayu. Saya juga berharap agar saya juga dapat bergelar seorang pengkarya yang berjaya.

No comments:

Post a Comment