ADAT "TOL"
Adat Tol ini dijalankan sewaktu sebelum upacara bersanding antara pasangan dijalankan. Pasangan lelaki yang berkahwin dengan wanita Johor akan dikenakan beberapa siri Tol sebelum dapat memasuki rumah pengantin perempuan. Dalam tradisi ini, pengapit atau pengiring bagi pengantin lelaki memainkan peranan dalam ‘memberi’ dan ‘membayar’ duit kepada mereka yang menjaga tol termasuklah golongan kanak-kanak, saudara mara, sahabat pengantin perempuan serta mak andam. Adat Tol ini bukanlah wajib tetapi hanya sekadar untuk memeriahkan majlis. Pada sebelah malam kenduri, akan diadakan persembahan kuda kepang. Keunikan yang hanya ada di negeri Johor ini bertujuan untuk meraikan kejayaan pasangan pengantin dalam membina rumahtangga bersama.
Adat Tol ini sebenarnya bukanlah sesuatu perkara yang wajib tetapi hanya sekadar untuk memeriahkan majlis sahaja yang boleh dianggap kenangan manis waktu perkahwinan. Cuma pengantin lelaki perlulah membuat persediaan sebarang kemungkinan takut-takut tidak lepas untuk bayar Tol nanti.:) Dalam permainan Tol ini, orang yang memainkan peranan ialah pengapit anda. Pengapit perlu bijak mengawal situasi terutama kanak-kanak barisan paling hadapan pintu masuk kerana kanak-kanak mempunyai banyak karenah. Sebenarnya tidak perlu Tol yang tinggi. 20sen hingga RM1 sudah mencukupi untuk bayar Tol setiap seorang, mengikut kepada kemempuan pengantin lelaki.
Sebelum bersanding, anda tanyalah pada pengantin perempuan bagaimana dengan kehadiran saudara mara dia diwaktu hari persandingan nanti. Kalau dia kata ramai maknanya ramailah yang akan berada di kawasan Tol nanti, kalau tak ramai maknanya anda selamat sikit. Seterusnya tanya pada pengantin perempuan sama ada Mak Andam kenakan Tol atau tidak. Kebiasaannya Mak Andam akan beritahu awal-awal kepada pengantin perempuan jika dia hendakkan Tol. Kerana Tol Mak Andam ni adalah Tol terakhir (Atas Pelamin). Mak Andam selalunya hanya akan membuka laluan kepada pengantin lelaki untuk menaiki pelamin setelah berpuas hati dengan jumlah Tol yang diberikan.
Kebiasaannya ada 3 lapisan TOL :
- TOL pintu masuk ( majoriti kanak-kanak atau pemuda-pemuda yang rewang kadar TOL 50sen hingga RM1 ).
- TOL nak naik pelamin ( majoriti gadis-gadis, rakan atau saudara pengantin perempuan kadar TOL RM1 ).
- TOL Mak Andam ( Big Bos kadar TOL RM10 hingga RM50 ikut kemampuan).